MELAKA: Seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal tulang belakang dihadapan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pistol tiruan.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Firdaus Md. Nor, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama yang telah dituduh dengan niat telah melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan dan melarikan wang tunai sebanyak RM550 milik mangsa berusia 39 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai menjual serbaneka di Jalan TPH 1, Taman Tambak Paya Harmoni dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7.21 malam, 6 Mei 2024.
Mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM30,000 berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan OKU serta mempunyai tiga anak berusia tujuh, enam dan setahun.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana tiada penjamin yang hadir dan menetapkan 23 September ini untuk serahan dokuman dan lantikan peguam. – UTUSAN










