SEREMBAN: Selepas lebih dua tahun inkues berlangsung, Mahkamah Koroner Seremban semalam memutuskan punca kematian seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau Baby Syifaa yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, adalah disebabkan tekanan pada leher.
Koroner, Datin Surita Budin dalam prosiding pendengaran keputusan inkues berkata, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian bayi berusia 15 bulan pada Februari 2022 itu disebabkan tergantung di dalam buaian ditinggalkan pengasuh.
“Sebab kematian adalah tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.
“Mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan pengasuh meninggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan yang sewajarnya dalam jangka masa munasabah,” katanya.
Jelas Surita, dapatan itu diperoleh selepas beliau berpuas hati atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan daripada saksi-saksi dan rakaman simulasi apabila dilihat secara keseluruhan.
Surita berkata, keadaan itu berlaku selepas Baby Syifaa ditinggalkan oleh saksi ke-19 yang juga pengasuh pusat jagaan, Khairulnisa Ahmad Damunhuri, 38, tanpa pengawasan sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah iaitu dua jam.
“Kegagalan membuat pengawasan dan pemantauan rapi merupakan satu kecuaian yang menyebabkan kematian si mati. Pengasuh juga mengakui meletakkan dan tidurkan si mati dalam buaian sedangkan mengakui penggunaan buaian di taska adalah tidak selamat dan tidak dibenarkan,” katanya.
Pada prosing itu, ibu bapa Baby Syifaa iaitu Anida Idrus dan Yuseri Yusoff kelihatan hadir bersama penyokongnya memakai baju berwarna hitam.
Keluarga Baby Syifaa diwakili peguam, Gaithri Thomas manakala Pegawai Pengendali Inkues antaranya Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin, manakala peguam pemerhati pihak pengasuh, S. Kavitha.
Seramai 28 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues selama 12 hari bermula 22 September 2022. – UTUSAN










