MELAKA: Dua peguam antara lima individu direman hari ini bagi membantu siasatan membabitkan penawaran dan penerimaan wang suapan daripada beberapa firma guaman di sekitar Melaka, berjumlah RM316,064.33.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam terhadap kesemua suspek yang tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Tiga yang lain ialah pengurus firma guaman, pegawai bank dan bekas pegawai bank yang dipercayai telah menerima suapan tersebut.
Kesemua yang terlibat berusia antara 37 hingga 53 tahun dan kes rasuah itu dipercayai berlaku pada 2018 hingga 2022.
Ia bagi membolehkan firma guaman berkenaan menerima pelanggan bagi urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan terlibat.
Kesemua suspek ditahan antara pukul 2 hingga 4 petang semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Katanya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – UTUSAN










