MELAKA: Seorang pemandu lori ais didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Mac lalu.
Tertuduh, S. Kauiarsu, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 23 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.50 pagi di tempat meletak kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Mac 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Roslan mencadangkan jumlah jaminan RM7,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam K. Shareveen merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sambilan sebagai pemandu lori ais dengan pendapatan RM50 sehari dan perlu menyara kedua ibu bapanya yang mempunyai masalah jantung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan. – UTUSAN










