KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menangguhkan perbicaraan kes saman Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu kronisme selepas peguam Menteri Kesihatan itu menarik diri daripada mewakilinya.
Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Dzulkefly memaklumkan, beliau menarik diri daripada mewakili plaintif dan permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi kemudian membenarkan permohonan itu dan menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bermula semalam.
Mahkamah turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan selama tiga hari sehingga Khamis ini dan menetapkan tarikh baharu pada 5, 6, dan 7 Mac 2025 manakala pengurusan kes ditetapkan pada 10 Julai ini.
Dzulkefly selaku plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, pada pukul 12.54 tengah hari berhubung isu kronisme berserta satu lampiran paparan skrin artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif.
Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.
Plaintif mendakwa Najib telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.
Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejen-ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran tersebut dalam sebarang cara.
Plaintif turut memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.
Najib mendakwa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif (Dzulkefly). – UTUSAN










