MELAKA: Dua penjaga stor warga asing dan seorang pemandu lori tempatan direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dengan sindiket diesel haram rentas negeri, dipercayai aktif sejak lebih setahun lalu.
Perintah reman sehingga 9 Mei ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap tiga suspek lelaki berusia antara 28 hingga 34 tahun itu.
Kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 12.10 tengah hari dengan diiringi pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Krubong pada pukul 7 malam, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, beroperasi sudah lebih setahun di premis yang dipasang kamera litar tertutup (CCTV) khusus untuk memantau kehadiran pihak berkuasa, satu sindiket diesel haram di Kawasan Perindustrian Krubong akhirnya tewas selepas diserbu penguat kuasa KPDN.
Pasukan serbuan berjaya menahan sebuah lori tangki sarat dengan muatan diesel berjumlah 27,000 liter yang sedang dalam proses membawa keluar bahan api bersubsidi itu dari negeri ini.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, diesel bersubsidi itu dibeli dari stesen minyak di sekitar negeri ini sebelum dikumpulkan di stor penyimpanan yang mempunyai tiga tangki berkapasiti keseluruhan 35,000 liter. – UTUSAN










