MELAKA: Seorang pekerja kedai serbaneka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja bawah umur.
Tertuduh, Mohamad Daniel Aiman Mohd. Izwan Azizy, 19, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam di sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Mei 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Azlinie Othman merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu jualan sebuah kedai serbaneka dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala bapanya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN









