MELAKA: Padah melakukan pemerasan dan mencederakan seorang anggota polis bantuan, Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara kepada tertuduh, Zaidi Mahadi, 32.
Tertuduh yang berdepan dua pertuduhan membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang rakan sejenayah yang telah dituduh dan dua masih bebas didapati melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank tanpa alasan munasabah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, kerana didapati sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 pagi di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Februari 2024.
Difahamkan, tertuduh bersama yang lain berkomplot memerangkap mangsa dengan menyuruhnya datang ke rumah seorang wanita iaitu kekasih kepada rakannya yang sebelum ini telah dituduh di mahkamah.
Wanita itu kemudian bertindak menghubungi teman lelakinya untuk datang ke lokasi bersama tertuduh dan seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas, kononnya mangsa mempunyai hubungan dengan dirinya.
Mereka memukul dan memeras ugut mangsa dengan menyuruhnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank wanita berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan dua bulan penjara untuk pertuduhan pertama dan sebulan penjara bagi pertuduhan kedua yang mana hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu hari ini. – UTUSAN










