MELAKA: Dua wanita warga Thailand antara yang didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah serta memiliki sepucuk pistol.
Kedua-dua tertuduh, Maneerat Pariwat, 24, dan Promporn Thanadchangsaeng, 25, bersama seorang lagi tertuduh lelaki warga tempatan, Ong Kee Teck, 37, hanya menganggukkan kepala di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni selepas enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka dalam mencapai niat bersama didapati mengedar cecair mengandungi dadah jenis ketamin anggaran isi padu 286,255 mililiter (ml), nimetazepam berat kasar 551 gram (g), serbuk dadah MDMA (1,124 g), ketamin (5,569 g) dan campuran serbuk ketamin (6,415 g).
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan TS4, Taman Saga Bertam Malim dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 8.15 malam pada 27 Januari 2024.
Mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, ketiga-tiga tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis MDMA dalam bentuk pil dengan berat kasar 26 g di lokasi dan waktu sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan dikenakan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol di lokasi dan waktu sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama telah mempunyai dalam milikan sepucuk pistol jenis CZ 85 B Cal.9 luger tanpa kebenaran yang sah.
Mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan disebat tidak kurang enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Fikri Hakim Zamri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mak Kah Keong.
Mahkamah menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – UTUSAN











