Syed Saddiq dipenjara 7 tahun, denda RM10 juta dan dikenakan 2 sebatan - Utusan Malaysia

Syed Saddiq dipenjara 7 tahun, denda RM10 juta dan dikenakan 2 sebatan

syed saddiq
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengetahui keputusan kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM10 juta serta dikenakan dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bagaimanapun membenarkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, mahkamah memerintahkan pemimpin politik itu dipenjara tiga tahun dan dikenakan satu sebatan.

Kesalahan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403, Syed Saddiq dipenjara dua tahun dan dikenakan satu sebatan.

Sementara bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, mahkamah memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara dua tahun dan dikenakan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.

Hakim Azhar bagaimanapun memerintahkan hukuman bagi kesalahan pengubahan wang haram berjalan serentak.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan – masing-masing satu pertuduhan bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.