Ibu tunggal nafi abai anak hingga dibunuh kekasih

Ibu tunggal nafi abai anak hingga dibunuh kekasih

TERTUDUH lelaki diiring keluar anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka dengan pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tunggal didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki berusia tiga tahun manakala kekasihnya dituduh membunuh kanak-kanak berkenaan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Nurasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu kandung kepada mangsa telah didapati melakukan pengabaian.

Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal atau emosi dengan membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada teman lelaki.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan PE 15, Taman Paya Emas, Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada 6 Julai 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan jaminan, manakala peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung ibu yang tidak sihat dan bersetuju dengan syarat tambahan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri sekali pada setiap 1 hari bulan sebelum pukul 1 tengah hari, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman, kekasihnya, Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Kesalahan itu dilakukan dilakukan di tempat, tarikh dan masa sama. Tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Pembelaan dalam hujahnya memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan satu surat kepada pendakwaan bagi permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental, susulan perkara itu telahpun dibangkitkan semasa tempoh tahanan reman.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Ogos ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu bedah siasat.

Utusan Malaysia pada 7 Julai lalu melaporkan, seorang ibu tunggal dan teman lelakinya direman tujun hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelaki wanita itu berusia tiga tahun yang mengalami kecederaan parah pada tengkorak dan perut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya