KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad tidak perlu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas tarikh perbicaraan selama sembilan hari yang dijadualkan sebelum ini ditangguhkan Mahkamah Sesyen di sini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isteri sepatutnya mengemukakan keterangan bela diri sepanjang minggu ini bermula semalam serta 20, 21, 24 dan 25 Julai.
Hakim Rozina Ayob melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan setelah dimaklumkan perkembangan status rayuan berhubung permohonan semakan tertuduh di Mahkamah Rayuan, minggu lalu.
Beliau menetapkan kes rasuah itu disebut pada 13 September ini.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How memberitahu, Mahkamah Rayuan memerintahkan permohonan semakan pasangan suami isteri itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.
Jelasnya, semakan itu sebelum ini ditolak Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid tanpa mendengar meritnya selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan.
Beliau berkata, tarikh sebutan permohonan itu ditetapkan pada Jumaat ini di hadapan hakim yang sama.
Jumaat lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail menghantar balik permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. – UTUSAN