KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengaibkan kehormatan seorang bekas peguam wanita dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.
Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim mendenda Kwi Seng, 69, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah, minggu lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Denda itu dijelaskannya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengaibkan kehormatan Veronica Wong Pei Huan, 52, di sebuah suite di Plaza Imbi, di sini di antara 23 Mei dan 16 Jun 2021.
Mangsa yang merupakan anak perempuan pemimpin veteran MCA, Tan Sri Wong Mook Leong sepatutnya dijadualkan memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan hari ini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mewakili pihak pendakwaan, peguam Kitson Foong mewakili tertuduh manakala Goh Han Koon bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Ketika didakwa pada 31 Mei 2022, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000. – UTUSAN