KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih kekasih didakwa di mahkamah berbeza semalam atas pertuduhan memukul seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun menggunakan tangan dan penyangkut baju, awal Jun lalu.
Di Mahkamah Kanak-Kanak, ibu mangsa yang berusia 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penderaan kepada anak perempuannya, berusia setahun 11 bulan dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan antara 4 hingga 7 Jun lalu di rumahnya di perumahan awam Desa Rejang, Setapak Jaya di sini.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Majistret Nor Farahain Roslan menetapkan 11 Julai ini untuk mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman pada tarikh tersebut.
Sementara itu, di hadapan Hakim Izralizam, teman lelaki ibu mangsa, Amir Shafiq Shuaimy, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera kanak-kanak sama.
Pada tarikh dan tempat yang sama, bapa kepada empat anak itu didakwa mendera kanak-kanak itu dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan dan penyangkut baju sehingga menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa di bawah peruntukkan seksyen yang sama.
Bagi Amir Shafiq, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman mencadangkan jamin sebanyak RM 30,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan dan dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan serta mangsa.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana dia menanggung ibu, empat anaknya dan isterinya sedang mengandung anak kelima.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan dengan penjamin serta menetapkan syarat-syarat seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 11 Julai ini bagi sebutan semula kes itu. – UTUSAN