Tolak seks: Mekanik dituduh ugut bunuh, hantuk muka isteri

Tolak seks: Mekanik dituduh ugut bunuh, hantuk muka isteri

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap isterinya dan ugutan bunuh. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa, selepas wanita itu menolak melakukan hubungan seks.

Tertuduh, Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, yang bekerja sebagai mekanik membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya yang berusia 33 tahun dengan cara menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Februari 2023.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Tertuduh turut didakwa telah menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan bagi pertuduhan pertama.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap satu hari bulan di balai polis berdekatan.

Pendakwaan turut meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Ishak Mohd. Kari memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh baharu mendapat pekerjaan sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji sebanyak RM2,000 sebulan.

Selain itu, tertuduh dan mangsa mempunyai empat anak berusia dua hingga 10 tahun dan isterinya telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah di sini.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya