PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi membenarkan rayuan Barisan Nasional (BN) untuk mencabar kemenangan calon Pas, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim bagi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan seorang pengundi, Mohd. Azmi Mahmood yang memfailkan petisyen pilihan raya mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memerintahkan petisyen itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Mahkamah menetapkan prosiding disebut secara dalam talian pada 26 Jun ini.
Sementara itu, panel yang sama menolak rayuan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mencabar kemenangan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin bagi kerusi Parlimen Putrajaya.
Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati tiada merit dalam rayuan tersebut dan menetapkan kos RM30,000.
Berita selanjutnya menyusul. – UTUSAN