Kemenangan Pas di Gua Musang dicabar BN, Radzi Jidin kekal Ahli Parlimen Putrajaya - Utusan Malaysia

Kemenangan Pas di Gua Musang dicabar BN, Radzi Jidin kekal Ahli Parlimen Putrajaya

MOHD. Hafarizam Harun (tengah) berbual dengan para peguam di lobi Mahkamah Persekutuan selepas pendengaran rayuan petisyen pilihan raya Parlimen Gua Musang dan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dibenar oleh Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kemenangan calon Pas, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim bagi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sehubungan itu, petisyen pilihan raya bagi kerusi parlimen itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim baharu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan seorang pengundi, Mohd. Azmi Mahmood yang memfailkan petisyen pilihan raya mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan manakala prosiding disebut secara dalam talian di Kota Bharu pada 26 Jun ini.

Sementara itu, panel yang sama menolak rayuan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mencabar kemenangan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati tiada merit dalam rayuan tersebut dan menetapkan kos RM30,000.

Ketika membacakan keputusan bagi petisyen Gua Musang, Hakim Abdul Rahman berkata, panel itu berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi Kota Bharu terkhilaf ketika memutuskan pemfailan petisyen dilakukan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Pada 26 Februari lalu, Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membatalkan petisyen Mohd. Azmi selepas memutuskan ia difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketika membenarkan bantahan awal calon Pas, Hakim Roslan berpuas hati bahawa lantikan peguam pempetisyen (Mohd. Azmi) tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan mengikut Seksyen 38 akta itu.

Panel itu turut berpuas hati bahawa butiran petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi adalah mencukupi dan memenuhi kehendak undang-undang di bawah
Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5.

Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd. Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Sementara itu, panel sama ketika mengumumkan keputusan rayuan bagi Parlimen Putrajaya berpuas hati, petisyen Ahmad Faisal tidak mengandungi butiran mencukupi yang mewajarkan ia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Dengan keputusan itu, Mohd. Radzi kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun berhujah bagi pihak perayu manakala peguam-peguam Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd. Faizi Che Abu mewakili responden.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan petisyen pilihan raya Ahmad Faisal selaku pempetisyen selepas membenarkan bantahan awal Mohd. Radzi selaku responden.

Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas berpuas hati petisyen itu cacat dan tidak mengandungi fakta dan butiran lengkap.

Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu dalam usaha membatalkan kemenangan Mohd. Radzi, 46, atas dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Hakim Faizah berpendapat, pliding dalam beberapa perenggan yang terkandung dalam petisyen berkenaan tidak dilengkapi fakta yang mencukupi bagi membolehkan petisyen itu dibicarakan.

Pada hemat beliau, pempetisyen tidak memplid perkataan-perkataan yang digunakannya dalam `WhatsApp Group Alumni’ sekolah bahawa pengundi berdaftar di kawasan itu dijanjikan wang RM150 agar mengundi responden atau dihalang mengundi calon lain di parlimen itu.

Hakim Faizah berpuas hati, pempetisyen juga tidak memplidkan sama ada Naib Presiden Bersatu itu benar-benar menjanjikan tawaran tersebut dan beliau mempunyai pengetahuan mengenainya.

Mahkamah turut berpendapat, pliding yang menyatakan individu bernama Najmi Azamuddin Abdul Abas telah menerima RM150 daripada seorang pekerja Perikatan Nasional (PN) sebagai ganjaran kerana telah mengundi Mohd. Radzi, tidak disertai fakta yang lengkap.

Beliau berpendirian, ini kerana pliding berkenaan tidak menamakan pekerja PN yang didakwa memberi wang RM150 kepada Najmi, tempat atau alamat wang diberikan atau kaitan wang itu dengan PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN