KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memutuskan bahawa parti PKR boleh menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamarudin kerana keluar parti selepas menggunakan nama dan logo parti ketika bertanding dan menerima faedah atas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian atas alasan bon yang ditandatangani bekas Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah satu kontrak yang mengikatnya.
Menurut saman yang difailkan pada 28 September 2020, PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.
Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, Zuraida yang dinamakan sebagai defendan tunggal bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bahagian Ampang dan kemudian membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti pembangkang BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang lain.
Sehubungan itu, plaintif mendakwa defendan telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, PKR mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang.
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL