SHAH ALAM: Seorang jurujual wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri rantai leher kanak-kanak di tapak Karnival Jom Heboh, Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Tertuduh, Nor Zannah Andi Baso, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.
Ibu beranak satu itu bersama seorang yang masih bebas didakwa mencuri rantai emas milik anak saudara seorang wanita yang dilakukan di tapak Karnival Jom Heboh, Stadium Shah Alam, Seksyen 13, kira-kira pukul 5.39 petang.
Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa menawarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan bagi serahan dokumen kes.
Peguam Oon Guo Chen yang mewakili Nor Zannah memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.
Nur Faizah membenarkan kos ikat jamin RM3,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos depan.
Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita diberkas hasil rakaman video tular pengunjung yang menyedari kejadian rantai leher kanak-kanak itu dipercayai dipotong dengan sesuatu objek sebelum ditarik serta dicuri.
Suspek ditahan di sekitar lokasi sama dan turut didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes kecurian. – UTUSAN