MELAKA: Lima individu termasuk seorang remaja bawah umur dituduh di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pelbagai kesalahan membabitkan motosikal curi, dadah dan menghalang tugas penjawat awam.
Kesemua tertuduh, Muhamad Faiz Anuar, 26; Mohd. Amirruddin Mohd. Jazaly, 32; Muhammad Muqri Mohd. Azuan, 20; Bong Hang Hun, 41, dan seorang remaja berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa terlibat dengan jenayah curi motosikal, menyembunyi, memiliki, melupus serta menjual motosikal pelbagai model yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395, Seksyen 411, Seksyen 413, Seksyen 414, Seksyen 379A dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi sekitar Cheng dan Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah antara Mac hingga Mei 2023.
Sementara itu, Muhamad Faiz dan Mohd. Amirruddin turut didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 dan 3.40 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 8 Mei 2023.
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38B akta sama.
Dalam pada itu, Mohd. Amirruddin berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dengan sengaja melarikan diri daripada pemeriksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di tepi jalan PRI 14, Taman Paya Rumput Indah dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Mei 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohd. Iqbal, J. Banusha dan N. Siva Shangari manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin keseluruhan berjumlah RM62,500 dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Geng Faiz Tanah Merah yang aktif melakukan jenayah curi motosikal sekitar Melaka Tengah tumpas selepas polis berjaya menahan seramai lima lelaki dan seorang perempuan dipercayai anggota kumpulan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat ke atas kesemua suspek berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes curi motosikal dan samun sekitar negeri ini. – UTUSAN