Warden tahfiz dituduh pijak perut, pukul pelajar guna rotan buluh

Warden tahfiz dituduh pijak perut, pukul pelajar guna rotan buluh

TERTUDUH tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memijak perut dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak yang memijak perut dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera berbalas, selepas warga Singapura itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan dua pertuduhan ke atasnya, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya.

Mangsa dipercayai telah ditampar dan ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah guru sebuah pusat tahfiz dalam daerah Melaka Tengah pada 7 dan 8 Mei 2023.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM50,000 mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (2) akta sama, jika sabit kesalahan.

Untuk tiga lagi pertuduhan, tertuduh turut didakwa di bawah seksyen sama melibatkan dua lagi pelajarnya yang ketika kejadian berumur 15 tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya dengan cara menampar pipi dan memukul badan sebelah kiri mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perut.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan dikhuatiri tertuduh pulang ke negara asalnya dalam tempoh prosiding.

Peguam Faathir Imran merayu jaminan dibenarkan dengan alasan pusat tahfiz terlibat telah ditutup.

Mahkamah kemudian memutuskan tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, mudir dan warden asrama sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak yang dipercayai terlibat dengan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak direman empat hari.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin sehingga 16 Mei terhadap suspek yang juga warga Singapura.

Kedua-dua tertuduh yang juga adik beradik disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, susulan enam laporan dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz berkenaan, berumur antara 13 hingga 15 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.