Representasi kedua Rizal Crackhouse ditolak - Utusan Malaysia

Representasi kedua Rizal Crackhouse ditolak

MOHAMAD Rizal Johan Van Geyzel tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan representasi kedua kes memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi kedua pengasas dan pemilik bersama Kelab Komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel untuk menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.

Peguam M. Pravin yang mewakili Mohamad Rizal berkata, pihaknya baru menerima surat daripada AGC yang memaklumkan representasi kedua itu ditolak.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada esok dan lusa ditangguhkan kerana Rizal mungkin memfailkan satu lagi representasi untuk menggugurkan pertuduhan.

“Kami memerlukan masa untuk mendapat arahan daripada anak guam,” jelas Pravin pada prosiding tersebut. Hari ini ditetapkan untuk perkembangan keputusan representasi kedua Mohamad Rizal.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman mengesahkan status representasi kedua tersebut dan baru dimaklumkan mengenai representasi ketiga yang mungkin akan difailkan oleh pembelaan.

Noor Haslinda turut memberitahu, pendakwaan sedia mengendalikan perbicaraan yang dijadualkan selama dua hari dan dua saksi telah disapina untuk hadir memberi keterangan.

Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian melapangkan perbicaraan esok dan lusa serta menetapkan perkembangan keputusan representasi ketiga pada 13 Jun ini.

Pada 6 April lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar jika representasi itu ditolak oleh AGC.

Pada 20 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan representasi pertama Mohamad Rizal ditolak oleh AGC dan tertuduh akan memfailkan representasi kedua mengandungi perkembangan baharu yang sangat penting dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Mengikut tiga pertuduhan itu, Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ di antara 4 dan 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 petang, 13 Julai 2022.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya