Pemandu Myvi acu pistol dipenjara lapan bulan

Pemandu Myvi acu pistol dipenjara lapan bulan

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka menakutkan seorang penunggang motosikal dengan menggunakan pistol tiruan. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang samseng jalan raya dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana kesalahan menakutkan seorang penunggang motosikal dengan menggunakan pistol tiruan, dalam kejadian bulan lalu.

Tertuduh, Low Zhao Yuan, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 25, pada pukul 12.17 tengah malam di tepi jalan berhadapan bangunan Melaka Mall, Jalan Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, pada 28 April 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan mengandungi enam butir peluru di tempat dan masa sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam James S. Thanjong Tuan bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang perlu menyara dua anak serta ibu menghidap kanser.

Mahkamah kemudian menetapkan lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua, dengan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 28 April 2023.

Pada 29 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang mekanik berdepan detik cemas selepas diacukan sepucuk pistol di kepalanya dalam kejadian di hadapan Melaka Mall.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, insiden berlaku berikutan suspek yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi berasa tidak puas hati apabila mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon kepadanya.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa telah bergelut dengan suspek sebelum berjaya merampas senjata berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN