Komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri: Lokman Noor dibicara September ini - Utusan Malaysia

Komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri: Lokman Noor dibicara September ini

LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam akan dibicarakan selama 10 hari bermula September ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan, tahun lalu.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 6, 7, 11 dan 18 September serta 9, 10, 11, 23 dan 24 Oktober.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh turut memaklumkan pihaknya dijangka memanggil seramai 10 saksi memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Sementara itu, peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman tidak membantah tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan.

Justeru Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian menetapkan 1 Ogos ini bagi pengurusan kes seterusnya.

Pada tarikh itu, pihak pendakwaan juga perlu memaklumkan kepada mahkamah berhubung representasi yang dihantar oleh Lokman berkaitan kedua-dua pertuduhan itu.

Pada 1 September 2022, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil `Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pukul 11.16 malam pada 20 Ogos 2022.

Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pukul 8.15 pagi, 24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran di Jalan Sentul di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya