Dipenjara 12 bulan, suami isteri tak serik curi susu formula

Dipenjara 12 bulan, suami isteri tak serik curi susu formula

PASANGAN suami isteri diiring anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka kerana mencuri susu formula. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri 20 kotak susu formula bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya pada Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab. Manaf, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1, 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2, 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 5 petang hingga pukul 7.45 malam di Pasaraya Aeon Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Februari 2023.

Sabit kesalahan, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat kerana jenayah dilakukan bukan disebabkan kesempitan hidup.

Difahamkan tertuduh mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu dicuri kepada pelanggan.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malik merayu hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap, selain memberikan alasan anak guamnya perlu menyara empat anak dan si isteri sedang hamil tiga bulan.

Mahkamah kemudian mengarahkan setiap tertuduh dipenjara 12 bulan dari tarikh ditangkap pada 16 Februari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya