Shafee tidak dibenar fail tuntutan balas terhadap LHDN

Shafee tidak dibenar fail tuntutan balas terhadap LHDN

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini memfailkan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan peguam itu selepas membenarkan bantahan Kerajaan Malaysia melalui LHDN. Beliau turut diperintah membayar kos RM5,000.

Mahkamah berpuas hati, tuntutan balas Muhammad Shafee bukan berasaskan kepada tunggakan cukai pendapatan, sebaliknya atas dakwaan niat jahat (mala fide) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Roz Mawar berpendapat, asas permohonan tersebut tidak tertakluk dalam skop dan peraturan yang membolehkan tuntutan balas dibenarkan. Dalam keputusannya, Roz Mawar turut menyatakan, SPRM dan AGC bukan pihak-pihak dalam prosiding itu dan sebarang isu berhubung `niat jahat’ perlu diselesaikan melalui jalan lain.

Ujar beliau, kes undang-undang berkaitan cukai di negara ini menyatakan bayaran perlu dijelaskan terlebih dahulu yang mana prinsip `bayar dahulu, sembang kemudian’ adalah predominan.

Beliau menjelaskan, meskipun rayuan dikemukakan, bayaran tunggakan cukai perlu dijelaskan bagi mengelakkannya menjadi hutang. Roz Mawar turut berpuas hati, sebarang ketidakpuasan berhubung pengiraaan tunggakan cukai perlu didengar dan diputuskan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

“Beliau boleh memfailkan rayuan kepada SCIT tetapi bayaran mesti dibuat terlebih dahulu,” katanya sambil menambah jika SCIT kemudiannya mendapati taksiran cukai itu tidak betul, sebarang lebihan wang yang dibayar akan dikembalikan.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 26 Julai ini bagi mendengar permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap Muhammad Shafee. Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan berdasarkan afidavit yang difailkan bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

Muhammad Shafee diwakili oleh peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee sementara LHDN diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Al-Hummidallah Idrus, Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd. Ghause.

Muhammad Shafee memfailkan tuntutan balas terhadap LHDN pada Mei 2021 atas alasan tuntutan cukai tersebut merupakan satu serangan terhadapnya sebagai mangsa politik selaku peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee pada bulan yang sama dengan menamakan beliau sebagai defendan.

Berdasarkan dokumen diperoleh media, peguam berkenaan mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran RM621,291.85 (2011), RM978,854.11 (2012), RM3,581,500.000 (2013), RM1,735,124.03 (2014) dan RM1,826,557.87 (2016).

Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Muhammad Shafee mendakwa, selepas beliau mengeluarkan beberapa kenyataan kritikal berhubung Pakatan Harapan (PH), pada 10 Ogos 2018 beliau dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung wang RM9.5 juta.

Ujar Muhammad Shafee, ekoran kenyataan itu, satu mesyuarat diadakan di antara LHDN, SPRM dan AGC pada September 2018 bagi membincangkan pelan tindakan untuk menekan dan mendakwanya bertujuan melemahkan beliau sebagai peguam Najib.

Pada 13 September 2018, peguam terlibat didakwa atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Najib hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada LHDN. Bagaimanapun, pada 28 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada kesemua pertuduhan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN