Dua anggota polis tidak mengaku salah rompak wanita Indonesia

Dua anggota polis tidak mengaku salah rompak wanita Indonesia

KEDUA-dua tertuduh diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga asing. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga asing, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, T.S. Praveen, 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia dan mengambil barang kepunyaan mangsa.

Barangan tersebut adalah satu utas gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia dan satu keping kad mesin pengeluaran automatik (ATM) Hong Leong Bank dengan kerugian lebih kurang RM1,800.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 10 sehingga 11.30 malam dalam sebuah hotel bajet di Plaza Mahkota, dalam daerah Melaka Tengah pada 3 April 2023.

Kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka, pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu seorang warga Indonesia.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Kota Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada waktu dan tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 12 (1) (1) Akta Pasport 1966 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan RM15,000 setiap seorang berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan anggota polis yang telah berkhidmat selama tujuh tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya