KUALA LUMPUR: Penerbit filem, A. Aida dilihat seolah-olah sudah serik untuk bekerjasama dengan pelakon Amelia Henderson dalam mana-mana drama atau filem terbitannya susulan kes pelanggaran kontrak dan fitnah.
Bagaimanapun, A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, berkata, beliau tetap memaafkan dan tidak menyimpan perasaan marah terhadap pelakon terbabit.
“Saya maafkan awak Amelia Henderson, tidak marah marah pun. Tetapi untuk akan datang saya tidak bekerjasama dengannya lagi,” katanya.
Terdahulu, penerbit drama Halimah Jongang itu memberitahu, kes saman itu kali pertama berlaku dalam kariernya sebagai penerbit.
“Sepanjang 25 tahun saya jadi penerbit, tidak pernah seumur hidup saya berlaku perkara seperti ini. Esok hendak mulakan penggambaran, hari ini artis tarik diri sehingga saya terpaksa ke mahkamah untuk mengambil tindakan. Ini adalah perkara yang tidak boleh diterima,” katanya.
Dalam masa sama, A. Aida mengharapkan bahawa tindakan saman yang dilakukannya menjadi pengajaran kepada pelakon-pelakon lain.
“Apabila sudah tandatangan kontrak, maka kena hormat dan jalankan kewajipan. Kalaulah tidak boleh buat, berilah tahu seminggu sebelum, kita boleh bawa berbincang. Ini pada saat-saat terakhir, esok nak shoot pukul 10 pagi, 8.30 malam baru dapat panggilan. Setengah jam saya terpaku, saya macam tidak percaya,” ujarnya.
Sementara itu, Amelia ketika ditemui berkata beliau masih menghormati penerbit itu.
“Pengalaman saya bekerja dengan A. Aida sangat seronok. Saya harap semua faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini, baik A. Aida atau siapa pun yang saya pernah bekerjasama. Saya dapat pengalaman yang sangat menyeronokkan bekerja dengannya,” katanya.
Pelakon itu juga turut memaklumkan dia akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah semalam.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan Amelia untuk membayar ganti rugi melebihi RM200,000 kepada A. Aida Production Sdn. Bhd. selepas didapati telah melanggar kontrak dan memfitnah syarikat itu dalam media sosial. – UTUSAN










