KUALA LUMPUR: Pertuduhan rasuah terhadap ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dibicara bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut itu menghadapi sejumlah lima pertuduhan iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.
Di ibu negara, Adam Radlan, 42, didakwa di dua Mahkamah Sesyen pada 21 dan 28 Februari lalu melibatkan dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta.
Tertuduh yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari lalu melibatkan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
Ketika kes disebut di hadapan Hakim Azura Alwi semalam, Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaidi memaklumkan pihaknya berhasrat memindahkan dua pertuduhan di Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama dengan kes di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, kes di Shah Alam akan disebut pada 14 April ini.
Maziah turut memberitahu, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan memaklumkan, pihak pembelaan tiada bantahan terhadap pemindahan kes dan mengesahkan sudah menerima dokumen-dokumen tersebut.
Azura kemudian menetapkan tarikh sebutan selanjutnya pada 29 Mei ini untuk serahan dokumen yang lain.
Adam Radlan dituduh menerima suapan wang tunai RM500,000 berkaitan projek Jana Wibawa dan meminta suapan sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain mendapatkan surat setuju terima bagi projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta.
Pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh.
Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.
Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.
Sementara di Shah Alam pula, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa menerima suapan RM2 juta sebagai upah membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta sebagai upah mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.
Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 dan 5 Januari lalu. – UTUSAN










