MELAKA: Padah memiliki bom dan senjata tajam, seorang pekerja ladang ternakan lembu dipenjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap P. S. Tamil Kumaran, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios bersama dua lagi rakannya.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah hari di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Serkam dalam daerah Jasin pada 24 Oktober 2019.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang pada masa, lokasi dan tarikh sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Siva Shangari sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.
Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Oktober 2019 dan turut mengarahkan tertuduh menjalaninya di Penjara Sungai Buloh, Selangor kerana sedang menghadapi pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN