Kehadiran peguam Najib sekadar ilusi - Muhammad Shafee

Kehadiran peguam Najib sekadar ilusi – Muhammad Shafee

NAJIB Tun Razak meninggalkan pekarangan mahkamah ketika hadir bagi pendengaran permohonannya agar sabitan dan hukuman penjaranya dalam kes rasuah SRC International disemak semula di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa, rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan sabitan dan hukuman membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dijalankan dalam keadaan diwakili secara paksa (forced representation) menyebabkan bekas Perdana Menteri tidak mendapat perbicaraan yang adil.

“Peguam terdahulu (Datuk Hisyam Teh Poh Teik) tidak dibenarkan menarik diri dan dipaksa untuk terus berada di mahkamah. Beliau tidak ubah seperti hiasan, sekadar ilusi dan tidak mengikut peruntukan undang-undang.

“Ini adalah satu kesalahan yang sangat besar yang membolehkan semakan kerana apa yang berlaku bertentangan dengan asas perbicaraan yang adil,” ujar peguam terbabit.

Tambahnya, jika mahkamah `tidak puas hati’ dengan peguam yang memohon penangguhan, tindakan yang diambil panel pada ketika itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Tidak dinafikan peguam-peguam sering meminta penangguhan dan mahkamah juga mungkin rasa tidak puas hati atau rasa tidak senang hati dengan tindakan tersebut. Tetapi untuk meneruskan kes dalam keadaan peguam tidak bersedia atau telah menarik diri bukanlah cara untuk menanganinya,” kata Muhammad Shafee.

Peguam terbabit berkata demikian dengan merujuk kepada permohonan penangguhan yang ditolak oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat walaupun telah dimaklumkan bahawa peguam terbabit baru saja dilantik oleh Najib bagi menggantikan Muhammad Shafee.

Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co. sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan fima terbabit.

Tindakan Najib menukar barisan peguamnya dilakukan kurang tiga minggu daripada tarikh pendengaran rayuan akhir yang akan bermula pada 15 Ogos 2022 dan selepas permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhir beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, Muhammad Shafee menyatakan, Hisyam sendiri memberitahu mahkamah beliau memerlukan masa antara tiga ke empat bulan untuk meneliti segala rekod rayuan dan nota prosiding kerana baharu mengambil alih kes berkenaan dan pihak pendakwaan juga tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Ada beberapa tindakan yang boleh diambil oleh Mahkamah Persekutuan sekiranya tiada peguam atau peguam tidak bersedia, anak guam tidak boleh berhujah sendiri. Antaranya ialah Mahkamah Persekutuan boleh membatalkan rayuan (Najib) dengan kebebasan untuk memfailkan semula.

“Kenapa perlu hukum anak guam saya?” soal Muhammad Shafee.

Peguam terbabit turut menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama penangguhan tidak diberikan dalam kes besar sebegini.

Muhammad Shafee berkata demikian selepas salah seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan bertanyakan mengenai kes rujukan yang menyentuh mengenai penangguhan prosiding semakan.

Hujahan tersebut dibuat Muhammad Shafee pada prosiding semakan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah atas pelbagai tuduhan membabitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dalam rayuan akhirnya pada Ogos tahun lalu.

Semakan itu didengar oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Pendengaran semakan itu akan bersambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya