Ibu tunggal terlepas hukuman mati

Ibu tunggal terlepas hukuman mati

TERTUDUH dijatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Oktober 2018 oleh Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tunggal terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskannya atas enam daripada tujuh pertuduhan, termasuk melibatkan pengedaran dadah pada 2018.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu pada akhir pendakwaan ke atas Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim berkata, penelitian terhadap laporan forensik dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) pada sikat dan tuala tertuduh serta orang kena tuduh (OKT) kedua mendapati, terdapat beberapa individu lain yang tidak dikenali.

“Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di apartment tersebut adalah bersambung dengan bilik di mana dadah tersebut dijumpai. Terdapat beberapa set kunci turut diberikan kepada pelbagai pihak,” jelasnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 142.09 gram (g) dan dadah jenis MDMA seberat 1139 g di sebuah bilik pangsapuri di Jalan Persisiran Bunga Raya dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 4.30 pagi pada 13 Oktober 2018.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati mandatori di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Sementara itu, di bawah pertuduhan Seksyen 12 (2) ADB 1952, tertuduh berdepan dua pertuduhan memiliki dadah jenis monoacetylmorphine seberat 1.10 g dan dadah jenis heroin seberat 2.18 g.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dihukum penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga berdepan dakwaan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) akta sama, selepas didapati memiliki 345 g etizolam.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta sama selepas didapati memiliki 39.71 g chloroquine.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Oktober 2018, atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20.25 g.

Kesalahan itu dilakukan pukul 4.30 pagi di kawasan parkir kenderaan di apartment sama pada 13 Oktober 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping.

Perbicaraan bermula pada 15 September 2020 dengan seramai 19 orang saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan manakala tiga orang bagi pihak pembelaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.