Tukang cuci belasah ahli keluarga dipenjara 36 bulan

Tukang cuci belasah ahli keluarga dipenjara 36 bulan

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul isteri, anak tiri dan menantunya serta melakukan khianat terhadap sebuah kereta. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang tukang cuci dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memukul isteri, anak tiri dan menantunya serta melakukan khianat terhadap sebuah kereta.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Zamri Husin, 36, yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak tiri, menantu dan isterinya yang berumur 30 hingga 55 tahun dengan cara menumbuk belakang tengkuk, leher, dada dan kepala serta menarik rambut, menghentak kepala, menampar muka dan menyiku pipi.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Januari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara dua tahun dan denda tidak melebihi RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah melakukan khianat dengan menendang pintu bahagian penumpang belakang sebelah kanan kereta jenis Proton Waja sehingga kemik milik menantunya yang menyebabkan kerugian kira-kira RM500.

Kesalahan itu dilakukan pukul 4.30 petang di luar rumah di lokasi sama, juga pada 8 Januari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dikenakan dengan alasan masih mempunyai anak yang bersekolah dan hanya bekerja sebagai tukang cuci.

Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh telah mencederakan tiga ahli keluarganya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan pertama hingga ketiga dan penjara 12 bulan bagi pertuduhan keempat, serta mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak dari tarikh sabitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.