Lupus sisa pepejal secara haram, syarikat perkayuan didenda

Lupus sisa pepejal secara haram, syarikat perkayuan didenda RM15,000

JUN Kiat Trading yang diwakili Tan Choon Kiat (kiri) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka selepas didapati bersalah melupuskan sisa pepejal komersial secara haram pada Ogos tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah syarikat berkaitan kerja-kerja perkayuan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuang sisa pepejal komersial di kawasan yang tidak dibenarkan pada Ogos tahun lalu.

Orang kena saman (OKS), Jun Kiat Trading yang diwakili Pengarahnya, Tan Choon Kiat, 55, diarahkan membayar denda tersebut oleh Hakim Darmafikri Abu Adam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS telah melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial secara haram di kawasan berhampiran taman perumahan.

Kesalahan itu dilakukan pukul 1.10 petang di Lot 26957 Mukim Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 16 Ogos 2022.

Sabit kesalahan, syarikat tersebut boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta sama.

OKS dalam rayuannya memohon denda dikurangkan dengan alasan melakukan kesalahan kali pertama dan perniagaannya terjejas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Abd. Hadi Abd. Wahab mencadangkan hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam, kos pembersihan ditanggung kerajaan dan lokasi kejadian adalah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM15,000 dan tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya