Kakitangan MPJ didakwa beri keterangan palsu

Kakitangan MPJ didakwa beri keterangan palsu

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memberi keterangan palsu kepada mahkamah membabitkan kes rasuah seorang anggota polis. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu kepada mahkamah membabitkan kes rasuah seorang anggota polis, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd. Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu telah memberi keterangan yang tidak selaras di mahkamah berbanding kenyataan yang diberikan kepada Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat SPRM Melaka pada 18 Februari 2020.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.40 petang hingga 3.30 petang di Mahkamah Sesyen 1 Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Januari 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-keduanya sekali, mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000 dengan seorang penjamin bukan ahli keluarga dan melapor diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar jaminan yang rendah dikenakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000, melapor diri kepada SPRM setiap bulan dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN