`Coklat RM2 juta' bukan untuk Guan Eng - Peguam

‘Coklat RM2 juta’ bukan untuk Guan Eng – Peguam

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan dalam kes rasuah berhubung terowong dasar laut Pulau Pinang mendakwa, ‘Coklat RM2 juta’ yang dimaksudkan sebagai wang tunai kepada Lim Guan Eng, sebenarnya untuk diberikan kepada pihak lain.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, maklumat tersebut terkandung dalam dua rakaman video prosiding kes penipuan melibatkan seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2017.

Gobind menyatakan, dalam rakaman video tersebut, dua saksi pendakwaan (SP), Azli Adam dan Ibrahim Sahari memberitahu mahkamah ketika itu bahawa wang RM2 juta bukan untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ujar Gobind, mereka yang turut dipanggil sebagai SP28 dan SP29 pada perbicaraan Guan Eng di sini sebaliknya menyatakan, wang tersebut untuk tertuduh.

Sehubungan itu, beliau memohon kedua-dua rakaman itu dimainkan di mahkamah bagi membuktikan Azli, Ibrahim dan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berbohong ketika memberi keterangan.

“Saya memohon kedua-dua rakaman dimainkan di mahkamah ini bagi menunjukkan ketiga-tiga saksi berbohong dan mereka-reka keterangan,” ujar Gobind pada perbicaraan tersebut.

Gobind ketika itu sedang menyoal balas SP8 iaitu pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Namun, permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kerana ia tidak relevan dengan prosiding perbicaraan.

Hakim Azura Alwi turut berkata, Wan Mohd. Firdaus hanya boleh memberi pandangannya dalam video berkenaan kerana dia tidak terlibat dalam prosiding kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 24 Jun 2022, Zarul, 62, memberitahu beliau menyerahkan RM2 juta kepada Guan Eng melalui Gnanaraja yang bertindak selaku perantara bagi mengelakkannya dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zarul yang juga Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) berkata, beliau menghubungi Gnanaraja pada 17 Ogos 2017 melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan hajatnya memberikan `Coklat’ yang dimaksudkan sebagai wang tunai kepada `Bigboss’.

Zarul Ahmad berkata, beliau selanjutnya menghubungi Guan Eng pada 20 Ogos 2017 untuk memperkenalkan bekas Ketua Menteri itu kepada Gnanaraja.

Zarul Ahmad seterusnya menyatakan, beliau memberikan wang RM2 juta itu kerana khuatir tertuduh akan mengganggu projeknya pada masa akan datang.

Ketika prosiding, Gobind turut mempertikaikan transkrip perbualan WhatsApp di antara Zarul Ahmad dan Gnanaraja pada 17 Ogos 2017 dan memohon saksi berkenaan membawanya ke mahkamah.

Peguam bela mempersoalkan bahawa perbualan penuh WhatsApp di antara Zarul Ahmad dan Gnanaraja tidak diserahkan kepada pihak pembelaan.

Wan Mohd. Firdaus kemudian menyatakan beliau boleh menyerahkan salinan transkrip tersebut pada perbicaraan esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Guan Eng turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya