KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, saman pemula penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago wajar ditolak ekoran pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh pengundian pada 19 November ini.
Peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang juga bekas Presiden Mahkamah Rayuan berhujah, saman pemula itu kini akademik kerana SPR juga telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 November ini.
Beliau berhujah mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dua pihak lagi yang memohon membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh Charles berhubung pembubaran Parlimen.
Selain Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan SPR turut dinamakan sebagai defendan-defendan dalam saman pemula itu.
SPR pada sidang media sebentar tadi menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan 15 November ini sebagai tarikh pengundian awal manakala 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen.
Dalam hujahan itu, Zulkefli menyatakan, kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan pembubaran Parlimen tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikai di mahkamah.
Hujah beliau, Seri Paduka mempunyai kuasa istimewa di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen.
Zulkefli berhujah, Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan diwartakan menyebabkan permohonan saman pemula penyandang kerusi Parlimen Klang itu kini bersifat akademik.
“Pengisytiharan dan pembubaran Parlimen merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana yang mana badan kehakiman selaku penjaga kepada keadilan (guardian of justice) perlu memelihara prinsip keperlembagaan ini,” ujar beliau. –UTUSAN