JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-Kanak di sini, hari ini atas pertuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.
Mengikut kertas pertuduhan, pelajar tingkatan enam itu menyebabkan kematian adik lelakinya yang berusia 16 tahun di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai dekat sini pukul 1.50 petang, 19 Oktober lalu.
Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Mirdah Mohd. Yunos yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili barisan peguam bela Abd. Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kerana masih lagi remaja dan tidak ada sebab untuk melarikan diri.
“Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan, iaitu pada tahun depan tertuduh akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malayaia (STPM),” kata Abd. Rahim.
Majistret membenarkan anak sulung daripada lima beradik itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 5 Disember INI sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang pelajar perempuan bertindak membaling pisau dan mengenai leher sebelah kanan adik lelakinya sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak.
Dua beradik itu dilaporkan bertengkar disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah. – UTUSAN