Tarikh baharu keputusan Rosmah 1 September - Utusan Malaysia

Tarikh baharu keputusan Rosmah 1 September

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 September ini sebagai tarikh baharu keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor melibatkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Keputusan sama ada isteri bekas Perdana Menteri itu disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan, sepatutnya disampaikan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 7 Julai ini.

Bagaimanapun pada pengurusan kes dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas hari ini, tarikh berkenaan dilapangkan dan dijadualkan semula.

Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader yang ditemui selepas prosiding pengurusan kes berkenaan berkata, mahkamah mengarahkan kedua-dua belah pihak hadir pengurusan kes hari ini melalui surat pada 29 Jun lalu.

Bagaimanapun kehadiran Rosmah dikecualikan pada prosiding tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tin ketika mengesahkan perkara itu memberitahu, hakim bersedia memberikan keputusan pada Ogos ini namun pihak-pihak hanya bersetuju bagi tarikh September.

Justeru mahkamah menetapkan 1 September ini bagi keputusan kes tersebut.

Pada 24 Jun lalu, Rosmah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan dan memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak tahun 2018 terbatal dan tidak sah.

Permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman akan didengar pada 6 Julai ini, sehari sebelum keputusan sepatutnya diumumkan oleh Hakim Mohamed Zaini.

Sebelum ini, Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi, bagaimanapun permohonannya ditolak dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbaharunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Pada 11 Disember 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor; bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Kemudian pada 18 Februari 2021 Rosmah diarah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan..

Pada peringkat bela diri itu, seramai dua saksi iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Rosmah sendiri memberi keterangan dan pembelaan menutup kesnya pada 23 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 70, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya