Keputusan kes rasuah bekas Exco Johor ditangguh 7 Ogos

Keputusan kes rasuah bekas Exco Johor ditangguh 7 Ogos

ABD. Latif Bandi (kanan) berbincang dengan peguamnya sebaik sahaja tiba di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan keputusan kes bekas Exco Johor, Datuk Abd. Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram ke 7 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Kamarudin Kamsun ketika prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pembelaan itu, hari ini.

Kamarudin berkata, masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak-pihak terbabit yang belum diterima sebelum keputusan dapat dibuat.

“Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

“Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

Dengan penangguhan keputusan itu, peguam yang mewakili Abd. Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, iaitu Datuk Salehuddin Saidin memohon budi bicara mahkamah untuk mendengar beberapa hujahan daripada pihak pembelaan yang ingin membuat beberapa klarifikasi tentang kes itu.

Prosiding turut mendengar beberapa hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mahadi Abdul Jumaat.

Selain Salehuddin, Abd. Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Amir Shariffuddin Abd. Raub, 49, diwakili Khairulazwad Sariman.

Abd. Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin pada 14 Jun 2017, didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Namun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

Ketiga-tiga tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya