KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan, tiga Ahli Parlimen UMNO yang terawal ‘melompat parti’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah kerana takut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atas penyalahgunaan dana parti.
Tanpa menyebut nama, Ahmad Zahid menyatakan Ahli Parlimen yang mula-mula lompat masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah diikut Ahli Parlimen Jeli.
Bagaimanapun sebelum sempat Ahmad Zahid menyatakan identiti Ahli Parlimen ketiga, keterangannya pada peringkat bela diri itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.
“Yang Arif, saksi telah menimbulkan isu salah guna dana yang dilakukan oleh individu-individu lain. Ia kedengaran seperti (keterangan) dengar cakap (hearsay). Saya faham apa yang cuba dinyatakan oleh saksi ini tetapi ia perlu dihadkan.
“Sekiranya ia bertujuan untuk pembunuhan politik (political assassination), saya rasa ia tidak boleh dibenarkan untuk terus berlanjutan sehingga saksi membuat dakwaan yang tidak berasas dan keterangan dengar cakap tidak boleh diterima masuk,” kata pendakwa raya itu.
Bagaimanapun seorang lagi peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik menjelaskan mahkamah merupakan mahkamah adalah forum terbaik bagi anak guamnya memberikan keterangan yang benar dalam keadaan bersumpah dan memandangkan kes dihadapinya adalah serius dan berat.
“Ia (keterangan) merupakan sebahagian daripada pembelaan berdasarkan pendakwaan politik. Saksi (Ahmad Zahid) perlu diberikan peluang untuk memberikan pembelaannya dan sekiranya pihak pendakwaan tidak bersetuju dengan keterangan saksi maka ia boleh ditimbulkan semasa hujahan.
“Beliau perlu diberikan ruang dan peluang untuk menjelaskan pembelaannya. Tiada niat untuk menimbulkan masalah atau dakwaan salah laku kepada siapa,” katanya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memberikan kelonggaran kepada Ahmad Zahid untuk meneruskan keterangannya atas alasan ia diperlukan bagi melengkapkan naratif berhubung isu pendakwaan politik namun memintanya agar mengehadkan keterangannya berkaitan pertuduhan.
Terdahulu ketika menyenaraikan Ahli Parlimen yang lompat parti bagi menyelamatkan diri daripada siasatan SPRM, Ahmad Zahid menyatakan, Ahli Parlimen Masjid tanah telah menggunakan dana PRU14 untuk kepentingan peribadi.
“Saya difahamkan ketika itu beliau telah diberikan amanah untuk mengendalikan dana pilihanraya tetapi tidak digunakan untuk pilihanraya bagi menggerakkan jentera Puteri UMNO Malaysia sebaliknya wang itu telah dikeluarkan dari tabung dan dimasukkan ke akaun lain dan digunakan untuk tujuan-tujuan peribadi serta wang itu tidak digunakan pun untuk menggerakkan jentera pilihanraya Puteri.
“(Perkara) ini diketahui bukan sahaja di peringkat tertinggi UMNO tetapi Puteri UMNO. Apabila siasatan telah didengar akan dilakukan maka cara untuk menyelamatkan diri ialah dengan menyertai PPBM (Bersatu) yang ketika itu adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akhirnya orang itu terselamat,” kata Ahmad Zahid.
Merujuk kepada Ahli Parlimen Jeli yang tidak dinyatakan namanya, Ahmad Zahid mendakwa bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu telah menyalahgunakan dana PRU14 melebihi RM30 juta.
“Beliau telah diberikan amanah untuk mengendalikan urusan jentera parti UMNO Kelantan dan sebahagian daripada wang itu sepatutnya digunakan untuk urusan logistik (bagi) membawa pengundi-pengundi Kelantan yang bekerja atau bermastautin di Lembah Kelang untuk kembali mengundi di Kelantan.
“Saya diberitahu bahawa sejumlah lebih RM30 juta tidak pun dibelanjakan bagi tujuan logistik itu,” ujarnya.
Individu ketiga dan satu-satunya individu yang namanya disebut dengan jelas oleh Ahmad Zahid ialah Ahli Parlimen Bagai Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Menurut Ahmad Zahid, dana yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan di kawasan Ahli Parlimen itu telah disalah guna oleh adik Noor Azmi.
“Saya lihat sendiri dokumen (yang menunjukkan salah guna) membabitkan adiknya. Siasatan dan dakwaan akan dibuat terhadapnya dan itu telah menyebabkannya lompat ke PPBM (Bersatu),”kata Ahmad Zahid yang turut mendakwa beliau mempunyai bukti dan dokumen mengenai ketiga-tiga individu yang dinyatakan.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN










