Perkembangan kes seksual Da'i Syed 31 Mei

Perkembangan kes seksual Da’i Syed 31 Mei

SYED Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful  (kiri) hadir di Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi perbicaraan pertuduhan yang dihadapinya. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Perkembangan kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful sama ada pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, ditarik balik atau diteruskan, ditentukan Mahkamah Sesyen pada 31 Mei ini.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas mangsa yang juga pengadu kes menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha memaklumkan, pendakwaan masih menunggu arahan lanjut daripada AGC berhubung perkembangan kes selepas laporan polis ditarik balik.

”Saya mohon tempoh selama sebulan kerana arahan lanjut belum diperoleh daripada ibu pejabat.  Mohon tarikh lain,” ujarnya pada prosiding tersebut.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros memohon tarikh yang singkat selama dua minggu agar perkembangan kes itu dapat dimaklumkan secepat mungkin.

Ujar peguam bela, kes telah dipertimbang oleh AGC sebelum ini dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk diputuskan.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah arahan lanjut daripada AGC sama ada kes terhadap pendakwah selebriti itu ditarik balik atau diteruskan.

Dalam pada itu, Syed Amirul ketika ditemui media di luar mahkamah memaklumkan, pihaknya tidak bercadang memohon tarikh akhir sebaliknya meminta pertimbangan agar arahan lanjut berkaitan kes itu diputuskan segera.

Ujarnya, pihak pembelaan mahukan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan, walaupun pengadu telah menarik balik laporan polis, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa meneruskan pendakwaan terhadap Syed Shah Iqmal.

Jelas Syed Amirul lagi, perbicaraan masih boleh didengar kerana pihak pendakwaan boleh memaksa saksi hadir ke mahkamah memberi keterangan dengan meminta sapina dan waran tangkap dikeluarkan.

”Sama ada pihak pendakwaan akan meneruskan kes atau tidak, kami bersedia dalam kedua-dua keadaan,” ujarnya.

Pada  20 April lalu, perbicaraan kes Syed Shah Iqmal ditangguhkan selepas mangsa atau pengadu kes  tidak hadir memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan.

Syed Shah Iqmal, 27, yang lebih dikenali sebagai Da’i Syed sepatutnya dibicarakan pada 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 April dan sehari pada 17 Mei ini.

Pada 19 Mac 2021, kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan serentak.

Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun.

Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober 2020 di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya