Najib, Muhammad Shafee gagal singkir Sri Ram - Utusan Malaysia

Najib, Muhammad Shafee gagal singkir Sri Ram

GOPAL SRI RAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang menolak semakan kehakiman untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes masing-masing.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama-sama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat memutuskan demikian dengan alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Salah satu keperluan yang perlu dipenuhi sebelum kebenaran merayu diberikan ialah permohonan membabitkan persoalan undang-undang yang belum pernah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Kami berpendapat bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon telah dijawab dalam beberapa kes sebelum ini. Oleh itu, tiada keperluan untuk kami menyimpang daripada penghakiman yang diputuskan sebelum ini.

“Sehubungan itu, permohonan kebenaran ini menjurus kepada kegagalan oleh itu permohonan kedua-dua pemohon ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos,” kata Hakim Mohd. Zawawi ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Pasukan pendakwaan

Sri Ram bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion dan kes Muhammad Shafee membabitkan pengubahan wang haram RM9.5 juta.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan dalam kes penyelewengan dana 1MDB pada Disember 2018.

Sementara itu, Muhammad Shafee yang juga peguam Najib dalam kes seleweng tersebut mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada Najib berjumlah RM9.5 juta.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai ketua pendakwaan tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Pada 28 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan pendakwa raya  kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Pada 8 November 2021, Mahkamah Rayuan mengekal keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan pelantikan Sri Ram bagi mengendalikan kes jenayah Najib dan Muhammad Shafee dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang betul.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya