Dilantik jadi Setiausaha Syarikat bukan sebab Jho Low - Utusan Malaysia

Dilantik jadi Setiausaha Syarikat bukan sebab Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha syarikat 1MDB, Lim Poh Seng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low sering mengatur dan menguruskan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIASCC).

Saksi pendakwaan ke-18 itu juga memberitahu, dia sering hadir ke beberapa mesyuarat jawatankuasa itu sebagai perakam minit atas permintaan Jho Low.

Bagaimanapun, Poh Seng menafikan bahawa pelantikannya sebagai setiausaha syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) adalah disebabkan Jho Low mengenalinya.

Terdahulu, lelaki itu memberitahu die mengenali Jho Low adalah sebelum penubuhan TIA lagi.

“Pelantikan saya sebagai setiausaha syarikat dibuat dan diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah sebagaimana yang dinyatakan dalam Resolusi Lembaga Pengarah syarikat itu,”katanya ketika disoal balas oleh peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan Najib, 68, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-17 yang juga bekas setiausaha syarikat, Goh Gaik Kim menafikan bahawa dia mempunyai pertalian keluarga dengan Jho Low.

“Saya bukan makcik Jho Low dan saya tidak ada pertalian dengannya,” kata wanita itu.

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Gaik Kim merupakan kakak kepada ibu Jho Low, Puan Seri Evelyn Goh Gaik Ewe, namun, pada 10 Julai 2019, syarikat TRX City Sdn. Bhd. menafikan perkara tersebut. Penafian sama pernah dibuat oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Gaik Kim kini merupakan setiausaha syarikat TRX City.

Sementara itu ketika disoal balas oleh Wan Aizuddin, Gaik Kim memberitahu beliau pernah melihat seorang lelaki yang dikatakan sebagai Jho Low.

`Penampakan’ tersebut berlaku di restoran sebuah ketika makan tengah hari bersama salah seorang pengarah 1MDB bernama Ong (Tan Sri Ong Gim Huat) dan Ketua Pegawai Operasi 1MDB ketika itu, Radhi Mohamad.

“Ketika lelaki itu tiba di salah sebuah meja di restoran terbabit, Radhi macam Ohh itu Jho Low, Ong pula kata saya pun kenal Jho Low jadi mereka kemudian pergi kepada Jho Low untuk cakap `hai’.

“Lepas tu mereka kembali ke meja kami dan saya tanya itu siapa. Mereka jawab itu Jho Low dan saya tanya sama ada lelaki itu ada kaitan dengan 1MDB tetapi kedua-duanya hanya diam sahaja.” kata Gaik Kim.

Bagaimanapun ketika ditunjukkan gambar Jho Low, wanita terbabit tidak dapat mengesahkan bahawa individu dalam gambar tersebut adalah lelaki sama dilihat di restoran berkenaan.

Ini kerana kata Gaik Kim pada ketika berada di restoran, dia berada jauh dari meja Jho Low dan tidak melihat wajah dengan jelas. Dia hanya mengetahui lelaki di restoran itu Jho Low kerana itu yang dinyatakan oleh Radhi dan Ong.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya