Ketua Balai Polis Tengkera dituduh terima suapan pusat hiburan - Utusan Malaysia

Ketua Balai Polis Tengkera dituduh terima suapan pusat hiburan

ABDUL HALIM Alias dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Balai Polis Tengkera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan bulanan berjumlah RM21,800 dari pusat hiburan, dua tahun lalu. 

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai seorang pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Sub Inspektor di Balai Polis Tengkera didakwa meminta wang tunai sebanyak RM8,000 daripada pemilik sebuah pusat hiburan. 

Wang tersebut adalah bagi mengelakkan pemilik premis itu dikenakan tindakan kerana dikatakan telah melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tertuduh juga meminta wang bulanan sebanyak RM1,000 daripada pemilik premis sama untuk tidak dikenakan tindakan sekiranya berlaku perlanggaran pematuhan PKPP. 

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10 malam di Restoran The Stage Music Lounge Plt, Kota Syahbandar, Melaka pada 4 Ogos 2020. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Mengikut pertuduhan ketiga hingga kelima, tertuduh didakwa telah menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM12,800 daripada pemilik premis tersebut bagi tidak dikenakan tindakan atas kesalahan melanggar pematuhan PKPP. 

Wang itu diterima di Restoran The Stage Music Lounge Plt dan di bilik pejabat tertuduh di Balai Polis Tengkera, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 dan 11 Ogos 2020. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 memandangkan kesalahan dilakukan melibatkan lima pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM21,800.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun tidak membantah cadangan tersebut. 

Selepas mendengar hujah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan bersetuju mengenakan syarat-syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan. 

Elesabet kemudian turut menetapkan tarikh 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya