Tukang masak dipenjara 3 bulan miliki peluru tanpa permit  - Utusan Malaysia

Tukang masak dipenjara 3 bulan miliki peluru tanpa permit 

LUKMAN Abdullah, 33, (baju biru) dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit bulan lalu di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit bulan lalu. 

Tertuduh, Lukman Abdullah, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Kalaiarasi. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai lesen atau permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor di sini. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali. 

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Terdahulu, Kalaiarasi memberi peluang kepada tertuduh membuat pilihan hukuman sama ada mahu didenda atau dipenjara manakala tertuduh juga enggan membuat sebarang rayuan. 

Sementara itu, Lukman turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan serangan ke atas seorang lelaki warga Pakistan menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter kira-kira pukul 6 petang pada hari dan tempat sama. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. 

Kes itu akan disebut semula pada 31 Mac depan sementara menunggu laporan balistik, manakala dia dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000. 

Tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah jenis morfin dan methamphetamine. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 23 Januari lalu. 

Lukman didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali. 

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan semula kes pada 31 Mac ini. 

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen di sini, Lukman turut mengaku bersalah di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh lelaki warga Pakistan dengan menembak sebanyak satu das dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel dan memiliki senjata api itu. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada hari, waktu dan tempat yang sama. 

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Hakim bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas kedua-dua pertuduhan sementara kes akan disebut semula pada 31 Mac depan.  -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya