Saman AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain didengar selepas kes berkaitan 1MDB selesai - Utusan Malaysia

Saman AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain didengar selepas kes berkaitan 1MDB selesai

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tuntutan saman AS$8 bilion yang dikemukakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa pihak lain hanya akan dimulakan di Mahkamah Tinggi selepas semua perbicaraan jenayah melibatkan 1MDB, didengar dan dilupuskan.

Persetujuan itu dicapai oleh pihak 1MDB selaku plaintif dan bekas Perdana Menteri serta tujuh yang lain selaku defendan-defendan selepas sesi pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika ditemui media berkata, kedua-dua pihak bersetuju agar perbicaraan tuntutan saman itu tidak akan didengar sehingga perbicaraan jenayah di Mahkamah Tinggi, selesai.

Beliau memberitahu, mahkamah bagaimanapun meminta kedua-dua pihak memfailkan pembelaan masing-masing dan permohonan interlokutori sebagai persediaan sebelum bicara kes saman bermula.

Sementara itu, Datuk D.P Naban yang mewakili 1MDB ketika ditemui pihak media turut mengesahkan perkara itu.

Mahkamah hari ini dijadualkan mendengar permohonan Najib untuk menggantung prosiding saman sivil AS$8 bilion oleh 1MDB.

Bagaimanapun, permohonan penggantungan itu ditarik balik selepas kedua-dua pihak berbalah bersetuju perbicaraan tidak akan dimulakan buat masa ini.

Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan bagi menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

Pada 7 Mei 2021, writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk bekas Perdana Menteri.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

Selain Najib, saman itu difailkan terhadap bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu.

Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya