Ejen hartanah didakwa cuba bunuh anggota polis dalam SJR - Utusan Malaysia

Ejen hartanah didakwa cuba bunuh anggota polis dalam SJR

YAP Kah Wai dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dalam sekatan jalan raya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang melanggar anggota polis dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR) Sabtu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh.

Tertuduh Yap Kah Wai, 29, yang bertugas sebagai ejen hartanah memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, Kah Wai didakwa cuba membunuh Lans Koperal Meor Mohd. Asri Meor Azlan Shah, 33, dengan melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Toyota Vios ketika SJR Jalan Besar Seri Kembangan menghala ke Pekan Seri Kembangan di sini pukul 1.50 pagi pada 5 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat tidak menawarkan sebarang jaminan dengan berhujah mangsa dalam kes itu mengalami cedera parah selain tertuduh memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

“Tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau, antaranya dadah, samun dan curi kenderaan,” kata pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan dengan mengambil kira faktor kesalahan yang belum dibuktikan bersalah.

Selepas mendengar permohonan dan hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membuat keputusan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Tarikh 17 Mac ini ditetapkan sebutan kes.

Minggu lalu, media melaporkan seorang anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam sekatan jalan raya di Seri Kembangan, Serdang pada awal pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, A.Anbalagan, berkata dalam kejadian 1.50 pagi itu, Meor Asri yang bertugas di Balai Polis Seri Kembangan, patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua belah tangan.

Menurut polis, ekoran kejadian itu, mangsa telah dirawat di Hospital Serdang dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar serta stabil. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya