Isu kerakyatan anak lahir luar negara: Mahkamah tolak permohonan kerajaan - Utusan Malaysia

Isu kerakyatan anak lahir luar negara: Mahkamah tolak permohonan kerajaan

kes mahkamah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung keputusan berhubung hak kerakyatan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing, berhak mendapat hak melalui pelaksanaan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Memetik laporan Bernama, Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak dalam prosiding itu secara dalam talian.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar apabila dihubungi berkata hakim mendapati ibu-ibu yang merupakan plaintif, telah menunggu lama dan mengalami kesukaran dan mereka tidak boleh menunggu sehingga proses rayuan berakhir kerana ia akan menjejaskan plaintif dan menyebabkan mereka terus mengalami kesukaran.

“Hakim Akhtar dalam keputusannya memutuskan bahawa pendirian defendan adalah bercanggah. Di satu pihak, mereka berkata pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan ibu hak itu harus terlebih dahulu mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja. Ini mengandaikan pindaan itu perlu.

“Bagaimanapun, tidak timbul soal pindaan kerana mahkamah telah memutuskan bahawa ibu mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tambahan pula, jika pindaan itu diteruskan, tidak timbul soal menarik balik sebarang dokumen yang dikeluarkan kepada ibu seperti yang diarahkan oleh mahkamah,” kata Gurdial.

Defendan adalah kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Gurdial, hakim itu juga mengatakan jika defendan berhasrat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka tidak boleh meletakkan sebarang halangan untuk ibu-ibu berkenaan.

Beliau berkata mahkamah juga memerintahkan kerajaan membayar kos RM5,000.

Gurdial mewakili plaintif iaitu Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili kesemua defendan.

Pada 9 Sept, Hakim Akhtar dalam keputusan membenarkan saman plaintif bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Berikutan itu, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah dan turut memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan itu.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Dis tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya