Bicara kes saman Siti Nordiana ditangguh, peguam defendan kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

Bicara kes saman Siti Nordiana ditangguh, peguam defendan kuarantin kendiri

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Disember ini bagi menyambung perbicaraan saman fitnah RM2.5 juta penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima defendan kerana memfitnahnya dalam laman Instagram.

Hakim Zulqarnain Hassan menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini selepas membenarkan permohonan peguam- peguam yang mewakili defendan keempat (D4) dan kelima (D5).

Defendan tersebut masing-masing ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana memberitahu, peguam kedua-dua defendan, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulfah Hassan memohon penangguhan atas alasan salah seorang kakitangan di firma guaman itu positif Covid 19.

“Peguam D4 dan D5 memohon penangguhan selepas dinasihatkan oleh doktor supaya kedua-duanya menjalani kuarantin kendiri,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui WhatsApp selepas sesi pengurusan kes hari ini.

Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana, 37, sepatutnya menyambung keterangannya pada hari kedua perbicaraan yang kini di peringkat pemeriksaan balas.

Baru-baru ini, beliau membuat kejutan apabila merampas semula trofi kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang sebelum ini dimenangi rakan seangkatan, Wany Hasrita.

Ketika perbicaraan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu, Siti Nordiana antara lain mendakwa beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Menurut Siti Nordiana, 37, pernyataan fitnah lima defendan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram turut menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang dan makanan sedangkan beliau tidak begitu.

Dalam saman itu, tiga lagi defendan terdiri daripada penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Menurut writ saman yang dihantar secara e-mel, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya